Oleh :
Fitnah sentiasa berjaga sementara
ahli politik pula kerap tertidur. Ungkapan ini bermaksud, ahli politik sentiasa
terdedah kepada apa sahaja yang boleh menjejaskan reputasi mereka pada mata
rakyat kerana kealpaan mereka sendiri. Kadang-kadang, ahli politik berkenaan
seorang yang ‘baik’, namun yang membuat onar adalah anak atau isterinya.
Pengalaman sendiri; saya terpaksa
mengambil masa menjelaskan kepada umum pada suatu masa dahulu (antara tahun
1999 - 2004) hanya kerana saya membeli kereta Proton Saga Automatik, pada hal
kereta jenis itu bukan termasuk kereta mewah. Bahkan kereta yang saya beli itu
sudah berusia enam tahun. Itu pun selepas kawan-kawan menyarankan saya memiliki
kereta yang lebih baik memandangkan kereta saya yang sedia ada kurang sesuai.
The best APAM in the world..
http://worldofapam.blogspot.com
Ramai pemimpin Umno dicemuh
masyarakat kerana anak atau isteri mereka. Najib dicemuh kerana perangai
isterinya. Nazri Aziz dicemuh kerana kerenah anaknya. Suatu ketika dulu, Dr M
pernah dihentam juga kerana anaknya. Tidak ketinggalan, ada yang dicemuh kerana
adik atau abang, bahkan sampai kepada rakan baik sehingga perkataan kroni
menjadi perkataan yang begitu bernilai tinggi bagi orang politik untuk
menjatuhkan lawannya.
Pada masa yang sama, ada pemimpin
yang dihormati kerana anak atau isterinya. Orang pernah memuji Hasmah, isteri
Dr M kerana sikapnya ‘humblenya’. Begitu juga orang memuji isteri Dr Muhammad
Mursi kerana sifat rendah dirinya. Tidak ketinggalan, orang turut memuji Tuan
Sabariah, isteri TGNA kerana kehidupan biasanya walau pun beliau adalah isteri
kepada seorang MB selama 20 tahun.
Hj Mohammad Sabu, seingat saya
adalah antara pemimpin yang banyak mengkritik pemimpin PAS kerana gaya hidup
mereka dan keluarga. Berbanding pemimpin Umno, pemimpin PAS tidaklah semewah
mana, namun apa yang baik bagi orang ‘baik’ adalah ‘buruk’ bagi orang
muqarrabin.
Seseorang memberi tahu saya, ada
anak MB daripada PR (termasuk anak kepada pemimpin yang berstatus YB) membeli
kereta baru. Kalau anak MB itu membeli Persona baru, itu tidak menjadi
pertikaian tetapi apabila dia membeli Mini Cooper baru, selepas ayahnya jadi
MB, orang mula buka mata.
Orang tidak kata dia atau ayahnya menyeleweng atau
menggunakan kuasa untuk meraih kesenangan untuk diri sendiri dan keluarga.
Cuma, orang akan saling berpandangan sesama sendiri dengan penuh makna apabila
terpandang anak MB naik kereta baru yang agak luar biasa bagi mereka.
Itulah namanya fitnah. Seorang ayah
terpalit dengan persepsi buruk masyarakat umum hanya kerana tindakan luar biasa
anak. Sepatutnya anak itu tidak berbuat begitu dan sepatutnya di ayah juga
tidak boleh alpa untuk mengingatkan anaknya mengenai perkara itu. Kecuali,
sudah terbukti semenjak awal, yakni sebelum ayahnya menjadi MB, dia adalah
seorang ‘bisnes man’ yang berjaya. Kalau ayahhya tidak jadi MB pun, dia mampu
memiliki semua itu.
Tindakan anak MB itu menyusahkan
PAS dan orang PAS bahkan menunaskan fitnah di dalam PAS. Ketika orang biasa PAS
ke hulu dan ke hilir berkempen mengajak orang ramai menyumbang kepada PAS untuk
berdepan dengan Umno / BN, tiba-tiba anak pemimpin PAS bergaya dengan kereta
bagus. Bayangkan perasaan orang biasa PAS yang naik motor ketika itu, atau
orang biasa PAS yang berkereta Toyota Ke 20 yang berkhidmat tanpa pernah
bermimpi untuk menikmati kelembutan ‘speed’ Mini Cooper.
Betul, saya tidak menafikan
bahawa ada anak pemimpin PAS yang berjaya dalam bisnes masing-masing. Namun,
kedudukan mereka sebagai anak pemimpin sepatutnya menyedarkan mereka supaya
tidak melakukan sesuatu yang membibitkam fitnah kepada ayah mereka. Fitnah
kepada ayah mereka adalah fitnah kepada PAS kerana ayah mereka adalah pemimpin
PAS.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa
mereka tidak seperti orang lain. Mereka anak pemimpin yang diperhatikan dan
dipersoalkan. Sama seperti Nabi pernah mendidik para isterinya menerima hakikat
bahawa mereka adalah isteri seorang nabi, walau pun naluri kewanitaan mereka
mendesak mereka untuk hidup seperti isteri para pemimpin yang lain yang bukan
nabi.
Sama juga seperti Umar bin Abdul
Aziz menyedarkan anak-anaknya bahawa mereka adalah anak kepada amirul mukminin.
Mereka boleh hidup sesuka hati mereka jika mereka bukan anak seorang amir.
Ayah mereka tentu sahaja pandai
mengemukakan hujah untuk menjustifikasikan tindakan mereka, namun hujah ayah
mereka tidak berupaya memadam api fitnah yang terus ditiup supaya marak itu.
Justeru, anak-anak pemimpin PAS
perlu berusaha keras memadamkan fitnah ini. Dan, jika PR gagal mendapat tempat
di hati rakyat, PR terfitnah kerana perbuatan mereka itu, rakyat yang cintakan
keadilan akan mengutuk mereka sepanjang zaman.