Saturday, September 01, 2012

PR vs BN: Perlukah kita memaki hamun sedangkan Musa diperintahkan bercakap baik dengan Firaun?

-gambar hiasan-
Oleh: Dwen Puyau

Dalam bahasa kiasan Inggeris ada mengatakan "don't judge a book by its cover", dan itulah kiasan yang sering digunakan oleh masyarakat barat untuk menyatakan sesuatu pendapat mereka.

Walau pun dari mana dan siapa pandangan itu datang, tetapi jika ianya benar, logik dan bermanfaat maka pendapat itu harus di ambil kira dan menjadi iktibar walau pun orang yang berkata-kata itu mempunyai moral yang amat rendah.

Sebagai contoh; jika seorang pemuka agama berkata-kata dan bercakap perihal kepakaran agamanya, tetapi moralnya rendah, maka kata-katanya tetap diambil kira kerana yang di nilai ialah apa yang terbit dari kata-katanya, dan bukan dari apa yang zahir dari dirinya. Adakah ini yang berlaku?.

Maka lantaran dari itu sebahagian dari kita di Malaysia apabila berkata-kata, malah taatkala menyampaikan ceramah agama ataupun menyampaikan ilmu, mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya.

Ini mungkin kerana mungkin masyarakat sudah mula terpengaruh dengan kiasa inggeris tersebut hinggakan bukan cara dan gayanya yang kita ambil darinya, tetapi apa yang disampaikannya.

Tetapi yang menghairankan saya, kenapa dalam ceramah-ceramah dan majlis-majlis  agama sahaja yang sering berlaku sedemikian, sedangkan dalam majlis ilmu lain tidak dan jarang sangat berlaku.

Adalah baik bagi aku bersangka baik kepada mereka, kerana mereka yang berceramah lebih memahami soal hukum sedemikian kerana mereka bukanlah calang-calang orangnya dan bergelar ulama pula. Adakala saya merasakan seolah-olah mungkin mereka terlalu terpengaruh dengan situasi dan ceramah politik yang penuh dengan maki hamun.

Dan mungkin juga kerana kita sering mengatakan tidak boleh di pisahkan antara politik dan agama, jika di pisahkan itu adalah sekular. Lantaran itu ceramah agama bagai tidak boleh dipisahkan dengan ceramah politik dan begitulan sebaliknya. Masing-masing ada pandangan, dan yang pentingnya masing-masing ada nas masing-masing.

Dan adakah kerana mungkin itu satu method penyampaian da’wah yang saya tidak tahu. Maka dengan itu saya ambil pendirian lebih baik saya berdiam diri terhadap gaya dan cara penyampaian ceramah yang sedemikian. Kalaulah itu diiktiraf sebagai satu method da’wah dalam Islam, saya menerimanya atas dasar strategi da’wah

The best APAM in the world.. http://worldofapam.blogspot.com

  Saya pernah belajar tentang method-method da’wah dalam Islam dan dan method-method da’yah agama kristian dan yahudi.

Saya cuba sampaikan apa yang telah saya pelajari 15 tahun yang lampau hanya berdasarkan ingatan saya semata-mata.

Seingat saya, method da’wah dalam Islam itu amat luas dari secara selembut-lembutnya hinggalah hingga sekeras-kerasnya (bunuh).

Pertamanya kita harus faham pengertian sebenar da’wah itu. Da’wah ialah apa-apa kegiatan atau usaha mengajak orang Islam atau pun bukan Islam, dengan cara bijaksana, kepada Islam sebagai jalan yang benar, agar ajaran Islam dipraktikkan dalam kehidupan supaya manusia mendapat  kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ringkasnya, dakwah, adalah mengajak kepada agama Allah, iaitu Islam.

Apa yang penting di sini da’wah itu disampaikan kepada orang lain secara bijaksana iaitu “bil hal”. Dengan itu cara penyampaian da’wah itu berbeza-beza cara dan gayanya.

Bila isu “memaki hamun” mula dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan method itu tidak sesuai berlandaskan nas-nas yang dikemukakan, saya hanya mendiamkan diri.

Bukan berdiam diri saya itu tanda saya bersetuju atau sebaliknya, namun diam diri saya itu adalah untuk mendengar pandangan-pandangan dari kedua-dua pihak. Adalah lebih adil bagi saya menilai sesuatu situasi setelah saya mendengar hujah dari keduanya sebelum saya memberikan pandangan saya.

Cuma, ketika memberikan pandangan awal yang berbentuk provokasi saya ada menyatakan dengan membawakan nas dari al-Quran mengenai kisan Nabi Musa yang diperintahkan oleh allah supaya berda’wah kepada Firaun.

Ayat tersebut bermaksud “wahai Musa!!! Pergilah kamui kepada Firaun kerana sesungguhnya Firaun itu melampaui batas (tagho), dan apabila kamu berkata-kata (bercakap) dengannya, hendaklah kamu berkata-kata dengan lembut (qaullan layyina)”.

Saya mengemukakan ayat tersebut untuik melihat bagaimana kita menilai method da’wah yang di anjurkan oleh al-Quran dalam menyampaikan da’wah antara Musa dan Firaun. Tetapi ini bukanlah menunjukkan bahawa itu sahaja method da’wah yang ada.

Bila saya mengemukakan ayat itu sebagai hujah dan sandaran supaya kita menyampaikan da’wah dengan lemah lembut, berbudi bahasa, terus ianya menjadi dalil kepada kita dalam method da’wah hinggakan kita menolak method-method yang lain, sedangkan bukan itu pengertian saya yang sebenar.

Saya cuma ingin menunjukkan salah satu method da’wah bil hal sahaja, tetapi telah dinilai peristiwa itu sebagai satu-satunya method da’wah yang mutlak seolah-seolah tiada lagi method yang lain.

Dikesempatan ini saya ingin menjelaskan kedudukan Method da’wah Musa kepada Firaun kenapa dan mengapa di Allah memerintahkan agar Musa bercakap dengan baik ketika mana baginda berkata-kata kepada Firaun sedangkan Firaun itu di anggap oleh kita semua sebagai manusia yang paling jahat di atas muka bumi ini.

Persoalan utama ialah kenapa Allah perintahkan Musa bercakap dengan dengan lemah lembut dan berbudi bahasa apabila dia berhadapan dengan Firaun?. Apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu sedangkan Firaun itu terlalu jahat dan kejam.

Untuk merungkai perintah Allah itu, kita tidak boleh melihat kepada kejahatan Firaun semata-mata atau baiknya serta tabahnya Musa sebagai nabi yang Ulul Azmi.

Kita perlu melihat kepada sejarah dan perhubungan antara Musa dan Firaun itu sendiri barulah kita memahami kenapa Allah memerintahkan Method da’wah yang sedemikian.

Siapakan Musa sebelum menjadi nabi? Bukankah dia menjadi anak angkat kepada Firaun dan isterinya itu?. Sebab itulah Allah memerintahkan Musa bercakap dengan baik ketika baginda berdakwah dengan Firaun kerana mereka ibarat anak dan bapa.

Maka terungkailah sudah, asbab kenapa “qaulan layyina” itu menjadi Method dakwah Musa kepada Firaun kerana itulah pendekatan da’wah yang bil hal dalam situasi sedemikian dan method ini tidaklah menjadi satu method yang mutlak dalam kita berda’wah.

Sebulan yang lalu, saya berdepan dengan sekelompok manusia yang  mengaku mereka adalah berdakwah dengan mengadakan majlis-majlis ilmu. Kumpulan ini banyak mempersoalkan method da’wah dan ilmu para alim ulama yang lain terutama yang tidak sealiran dengan mereka.

Mereka mengatakan, mereka adalah orang-orang yang memakmurkan Ilmu dan akhlak Islam yang sebenar yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah semata-mata tanpa dicampur adukkan dengan amalan-amalan tambahan yang dianggap bid’ah dan sesat.


Ulama dan guru mereka serta sebahagian besar mereka selalu berpesan dan berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Maka lantaran itulah mereka mengatakan setiap apa yang mereka bincangkan, bahaskan adalah ilmu, dan dengan cara sedemikian akan bertambahlah tawadhu’nya mereka sedangkan ketika mana mereka membahaskan persoalan-persoalan masyarakat, hukum fiqh, mereka sedikit pun tidak Allah tunjukkan kepada kita wajah-wajah ketawadhu’kan mereka.


Saya pun menempelak kepada mereka dengan memetik sebuah hadith nabi dan bacakan pada mereka semula “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kalian melihat dari siapa kalian mengambil agama kalian.” (Muqaddimah Shahiih Muslim)


Seterusnya aku katakan lagi pada mereka "Maka bagaimanakah sikap sesetengah asatizah yang kalian ada sekarang ini yang sanggup melekehkan ulamak yang terdahulu ? Yang punya PhD namun berani membuat pernyataan yang dusta dan pengikutnya pula terus membenarkan perkataannya tanpa menyelidik ?. Yang punya ijazah namun tidak menerbitkan rasa tawadhuk (rendah diri) ?, Hubungannya dengan saudara seIslam hanya menimbulkan permusuhan dengan sebab perkataannya yang mudah menghukum sesat, kafir dan syirik tanpa hak ?" - Cerminlah diri kalian semua.

Saya hentikan hujah saya dengan mereka dengan kata-kata yg sering aku katakan dengan orang yang sombong dan takabbur dengan ilmu Allah yang ada dalam dada-dada mereka "Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis dan bukan kamu semua".

Akhir sekali, saya sebenarnya lebih bimbang dengan ulama yang ujub dan takabbur dengan Ilmu yang ada didalam dada mereka berbanding dengan para alim ulama yang menggunakan method da’wah yang keras kerana Firaun menjadi jahat, zalim dan tagho adalah disebabkan ujub dan takbburnya dia terhadap dirinya hingga dia mengatakan dirinya Tuhan.

Ingatlah!!! Sejahat-jahat iblis dan derhakanya kepada Allah, sama sekali dia tidak pernah mengaku dirinya Tuhan dan tidak pernah mensyirikkan Allah. Iblis menjadi derhaka kerana ujub dan takabburnya dia terhadap ilmu yang dia miliki sehingga enggan menurut perintah supaya  sujud kepada Manusia yang akhirnya dari keturunan manusia itu lahirlah manusia yang lebih jahat dan takabbur dari Iblis yang selalu mensyirikkan Allah dan mengaku dirinya Tuhan.