Monday, September 24, 2012

Cacatan Sejarah: Sultan vs Umno


KRISIS SULTAN DENGAN UMNO
 
Krisis antara Sultan Idris Shah dengan Ghazali dan sekaligus dengan UMNO Negeri Perak telah menular ke seluruh negeri Perak dan menjadi berita-berita besar. Beberapa orang pemuda UMNO yang tidak puas hati terhadap pentadbiran Ghazali Jawi, telah menyebelahi Sultan Idris Shah. Di antara mereka itu, ialah Abu Bakar Ashaari(guru sekolah kerajaan) dan Abdullah Haji Mohamad (ahli perniagaan).

Mereka itu penyokong kuat Menteri Besar, Haji Kamaruddin Mat Isa yang telah berundur dari kerusi Menteri Besar Perak kerana Ghazali Jawi kembali telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya 1974 dan menjadi Mentgeri Besar. Haji Kamaruddin telah memenangi kerusi Dewan Rakyat (Larut). Kemudian memegang jawatan Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama Islam. 

Kerana Sultan Idris tidak puas hati dengan sikap Perdana Menteri, Hussein Onn yang tidak mengendahkan ’kehendak’ Baginda, supaya dipendekkan tempoh Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar Perak. Tetapi pucuk pimpinan parti dan kalangan parti itu di negeri Perak telah memanjangkan percakapan hingga sampai kepada Sultan Idris Shah, iaitu dalam Perlembagaan Negeri Perak tidak ada satu perenggan atau ayat (clause) yang perlantikan yang telah dibuat oleh Sultan ke atas Ghazali Jawi boleh dengan ’sementara’. Ertinya perlantikan ke atas Ghazali Jawi oleh Sultan Perak menjadi muktamad dan kekal, kecuali diberhentikan oleh pucuk pimpinan parti.

Sultan Idris Shah telah mengambil langkah ’membantah’, iaitu Baginda telah bernazar menyimpang janggut, misai dan jambang dalam satu istiadat yang dihadiri oleh para wartawan, di Pulau Pangkor. 

The best APAM in the world.. http://worldofapam.blogspot.com 
 
KUASA POLITIK

Kira-kira dua bulan wajah Sultan Idris telah ditumbuhi bulu-bulu-misai, janggut dan jambang. Pada satu hari aku telah bergurau dengan Baginda, kataku ”...ai, dah nampak macam Fidel Castro, Sir.” 

”...ha, Castro le ni,...aku tunggu apa PM nak buat...,” sahut Sultan Idris.
”...apa nak buat, ...kuasa politik atau kuasa Sultan, ...kita kena tunggu le...,” kataku.
”Tu aku tau, ...tapi selagi dia (Ghazali Jawi) tak ngundur, aku tak sior cukur..., biorkan berserabut muka teman ni...,”titah Sultan.

Aku ketawa. Sultan Idris Shah turut ketawa. 

Pada satu hari, aku telah mengikut Sultan Idris Shah ke Pulau Pangkor kerana Baginda mengadakan pertemuan dengan semua Orang Besar-Besar negeri, di sana. Dalam pertemuan itu Sultan Idris Shah telah menitahkan kepada mereka, bahawa Baginda tidak akan bekerjasama dengan Menteri Besar. Baginda tidak akan menandatangani semua surat kerajaan yang memerlukan Baginda berbuat demikian.

Pada masa itu negeri Perak berada dalam keadaan krisis yang serius. Baginda dengan tegas berpegang pada janji Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein yang jawatan Menteri Besar yang disandang oleh Ghazali Jawi hanya sementara. Sultan tidak menghiraukan perlembagaan, kerana janji Baginda dengan Abdul Razak adalah janji antara dua sahabat lama.

’...kita orang Islam mesti pegang pada janji, kalau dah cakap, janji tak betul, tak taulah aku...,”titah Sultan kepada saya.

WARKAH PERLANTIKAN

Pada waktu itu saya teringat akan peranan saya telah menolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ishak Tadin menjalankan ikhtiar supaya Baginda menandatangani warkah perlantikan Baginda dan kehendak Presiden UMNO ke atas Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar Perak.

”...ini you punya fasal, kalau tak sebab you aku tak sign surat tu,” titah Sultan.
”Patik tak dapat elak Tuanku, kalau patik tak campur, khabornya Tun nak letak jawatan Perdana Menteri...,”jawab saya dan merenung wajah Sultan.

Sungguh pun Sultan Idris Shah tidak sabar-sabar menunggu Perdana Menteri memendekkan tempoh pekhidmatan Ghazali Jawi, tetapi Baginda tidak melupakan jasanya pada masa dia memegang jawatan Menteri Besar pada tahun 1957 – 1963.

Pada satu malam dalam Bandar Ipoh, Sultan Idris dan saya sedang menunggu beberapa orang ’Orang Besar-Besar’ Perak untuk menghadiri satu majlis jamuan makan malam, tiba-tiba Baginda memuji Tan Sri Ghazali Jawi, sedangkan pada masa itu Baginda sedang menyimpan janggut kerana bernazar.

”Dia tu banyak jasanya kepada orang-orang Melayu di negeri ni...,tengok tu sekolah Izzuddin, sekolah Raja Perempuan Ta’ayah...,” titah Sultan Idris.
Kalau orang lainlah jadi Menteri Besar, haghaam boleh bina sekolah agama macam tu..., oghang macam tu Allah akan balas syurga kepadanya.” titah Sultan lagi.

MAKAN PUJUK

Sultan merenung wajah saya dan Baginda senyum lalu bertitah, ” ...pada masa nak ambil tanah tu untuk jadikan sekolah Izzuddin, dia marahkan engineer (Jurutera PWD) Cina, kerana tak setuju sekolah tu dibina di situ.”

”Mengapa, Tuanku?” saya bertanya.

”Engineer tu makan pujuk orang-orang China kaya, deme yang nak kawasan tu, nak bina banglo, macam-macam lagi, ”jawab Sultan.

”You tau apa dah jadi?” Sultan bertanya, bangun sambil melurut janggutnya.
Saya tidak menjawab kerana saya tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku pada masaa itu.

”Dalam masyuarat antara pegawai-pegawai kerajaan tu, dia (Ghazali Jawi) bangun dan dengan suaranya yang kasor menyuruh Cina engineer tu berambus dari Perak,” titah Sultan.

”Dia kata, kalau Tuan tak setuju dengan rancangan saya nak bina sekolah agama Islam di sana..., keluar dari negeri ni, ...minta tukar, ...kalau tidak I akan tukarkan awak,”cerita Sultan.

”Mana ada Menteri Besar berani macam dia? ...yang ada macam ayam dimakan tungau, ...lah, dia berani...,” Sultan memuji. 

Aku telah menulis sebuah buku kecil mengenai pergolakan politik dan keadaan pentadbiran Negeri Perak yang berjudul, ’Siapa Bakal Menteri Besar Perak Akan Datang’. Buku itu telah diterbitkan oleh syarikat milik Syed Ahamad Jamalullail, Yayasan Massa, Ipoh.
Dengan tujuan hendak memusnahkan semua buku itu, Ghazali Jawi telah menyuruh seorang pemuda UMNO datang ke pejabat syarikat Yayasan Massa dan membeli semua buku-buku itu sebanyak 3000 buah. Dia berharap dengan pembelian buku-buku itu, pihak penerbit tidak akan menerbitnya lagi. Tetapi Syed Ahmad Jamalullail telah menerbitkan sebanyak 10,000 buah lagi.

SALAH FAHAM

Buku itu telah sampai ke tangan Perdana Menteri, Hussein Onn. Kerana buku itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak dalam satu meyuarat khas membincangkan kandungan buku tersebut. Mereka telah menganggap kandungan buku itu boleh menggugat kedudukan UMNO negeri itu dan Ghazali Jawi. Maka mesyuarat telah mengambil keputusan untuk menghantar surat mendesak Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie supaya menahanku di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA). 

Kira-kira dua minggu kemudian aku telah mendapat tahu perkara itu dari Ghazali Shafie sendiri. 

”...ngapa King Gaz tak tahan I,” aku bertanya kepada Ghazali Shafie.
”Inilah yang jadi salah faham, ...orang ingat senang-senang Menteri Dalam Negeri nak tahan orang....,” jawabnya sambil menyifatkan tindakan Pemuda UMNO Perak itu sebagai kebudak-budakan.

Menurut Ghazali Shafie, dia tidak akan menangkap atau menahan seseorang selagi perkataan, tulisan dan gerak gerinya tidak membahayakan perpaduan rakyat, kerajaan dan menghancurkan perpaduan rakyat. Sesuatu yang bersifat kritik tidak akan ditangkap kerana dengan kritik oleh penulis dan orang ramai akan membantu kelancaran kerajaan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah kerajaan demokrasi.*

* Disunting dari manuskrip buku SAYA DAN SULTAN PERAK, SULTAN IDRIS SHAH, (akan terbit segera).