Tuesday, July 17, 2012

Surat terbuka AWER kepada PM Najib!!

Rujukan kami: awer.2012.009bm

15 JULAI 2012

Kepada,
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya

YAB Dato' Sri,

PENYIASATAN BEBAS (INDEPENDENT INVESTIGATION) KE ATAS PIHAK BERKUASA PEMBANGUNAN TENAGA LESTARI (SEDA)

Perkara di atas dirujuk.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan pelbagai isu yang berkaitan dengan pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dan kaedah yang digunakan di Malaysia.  Agenda Teknologi Hijau yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan diikrarkan oleh YAB Dato 'Sri diganggu-gugat oleh peningkatan kelemahan dan pengaburan kebenaran (whitewashing) serta tuduhan salah laku dalam sistem Tarif Galakan (Feed-in-Tariff / FiT) baru-baru ini.

YAB Dato' Sri, kami ingin mengetengahkan beberapa isu berkaitan dengan SEDA yang memerlukan campur tangan Kabinet:

(i) Mekanisme FiT telah diterima pakai (bukan dibangunkan sepenuhnya) oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi pelaksanaan projek-projek RE.  25% pengguna domestik serta pengguna-pengguna kategori lain dari institusi, perniagaan, industri, dan sebagainya, di Semenanjung Malaysia menyumbang kepada FiT.  Kos FiT kepada perniagaan disalurkan secara langsung kepada rakyat melalui kos perkhidmatan dan produk.  Akhirnya, semua kos FiT akan dibayar oleh rakyat dan ini adalah satu fakta ekonomi yang tidak boleh disangkal di seluruh dunia.

The best APAM in the world.. http://worldofapam.blogspot.com

(ii) Sehingga kini, formula penetapan kos unit FiT masih tidak diketahui.  Bagaimana KeTTHA dan perunding mereka mendapat kos seunit kiloWattjam (kWj) yang sedang ditawarkan?  Tiada ketelusan dalam keadaan ini.  Adakah terdapat pengiraan untuk menentukan Perbelanjaan Modal (capex), Perbelanjaan Operasi (opex), Keuntungan yang Dikawalselia dan Ganjaran Kecekapan?  FiT dibiayai oleh rakyat dan rakyat mesti mengetahui mekanisme dan butir-butir pengiraannya.  Malahan, seorang perunding yang merupakan sebahagian daripada pembangunan mekanisme FiT ini melabelkan SEDA sebagai "Robin Hood songsang" (mencuri daripada golongan miskin dan memberi kepada golongan kaya) dan menghantar e-mel aduan yang panjang kepada AWER kerana KeTTHA gagal untuk membuat pembetulan.

(iii) Pelaksanaan RE melalui mekanisme FiT masih boleh dipersoalkan.  Model ini tidak menjamin pertumbuhan industri RE yang mampan dan berterusan.  Gambaran yang diberi kepada media dan rakyat adalah bertentangan dengan realiti.  Apa yang berlaku selepas "tahun-tahun menguntungkan"?  Adakah pelabur akan terus melabur? Ia adalah jelas bahawa pertumbuhan RE mestilah berasaskan sumber tempatan (indigenous) dengan capex dan opex yang berpatutan.  Keperluan teknologi adalah juga satu lagi pra-syarat.  Model masa kini hanya melihat pada kadar FiT yang menguntungkan dan model-model yang diguna di luar negara telah terbukti ia tidak mampan bagi mengekalkan pertumbuhan industri RE dalam jangka masa panjang.  Unjuran kos dan bekalan bahan mentah juga menunjukkan perbezaan yang ketara. Sebagai contoh:

a. Biojisim (biomas) kelapa sawit - serat daripada kelapa sawit boleh ditukar kepada pembungkusan berasaskan kertas.  Oleh itu, perkembangan bagi biomas kelapa sawit akan menghadapi persaingan daripada industri kertas kerana pulangan ekonomi yang cepat dan pengiktirafan alam sekitar yang lebih baik untuk pembungkusan berasaskan kertas.  Selain itu, kertas boleh dikitar semula dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.  Kita juga harus ingat bahawa wang dan pengiktirafan merupakan keutamaan kepada peniaga.

b. Solar Photovoltaic (PV) - panel solar dan bahagian-bahagian lain seperti penyongsang (inverter) dan bateri memerlukan bahan mentah.  Perubahan yang mendadak kepada permintaan solar PV akan menyebabkan kos bahan mentah naik mendadak.  Gas asli dan arang batu adalah contoh yang baik untuk rujukan serta-merta.

(iv) Baru-baru ini, beberapa ahli parlimen telah mendedahkan dalam media mengenai oligopoli (sejenis monopoli) FiT solar PV yang dikaitkan kepada individu tertentu.  FiT mesti tidak boleh disalahgunakan untuk amalan monopoli.  SEDA (termasuk ahli lembaga pengarah dan kakitangan) tidak boleh terus menuding jari kepada objek yang tidak bernyawa seperti sistem komputer jika wujud masalah atau mengiktirafnya sebagai mekanisme "telus".  Sebuah komputer hanya boleh menjadi mekanisme kawalan kerana manusia masih mengawal input dan outputnya.  Tindakan perlu diambil untuk mencegah sesetengah pihak mengaut keuntungan berlebihan daripada wang rakyat yang disumbangkan untuk FiT.

(v) Secara relatif, Malaysia mempunyai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan bilangan penduduk yang lebih kecil, maka ia adalah kurang bijak dan tidak strategik bagi Malaysia untuk membentuk sebuah agensi yang tidak diperlukan (redundant) seperti SEDA.  Malahan, terdapat "cerita dalaman" di mana KeTTHA jelas mengenainya.  Tugas SEDA boleh dijalankan dengan mudah oleh Suruhanjaya Tenaga ataupun Green Technology Corporation.  Sebelum Akta SEDA dan RE diluluskan di Parlimen, cadangan ini juga telah diberikan kepada KeTTHA tetapi ia tidak dihiraukan langsung.  Laporan kami mengenai industri elektrik bertajuk, "Perjuangan: Masa Depan Industri Eletrik Negara Kita" yang diterbitkan pada Jun 2011 juga telah menekankan keperluan untuk agensi tunggal untuk tenaga iaitu Suruhanjaya Tenaga bagi sistem ekonomi seperti Malaysia.

(vi) Berdasarkan laporan media, SEDA juga memohon peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R & D).  Memandangkan SEDA adalah agensi redundant dan duplikasi, SEDA tidak harus dibenarkan untuk mengulangi apa yang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang laksanakan.  Ini adalah kerana ia akan membazirkan wang rakyat.  MOSTI perlu meneruskan kerja R & D yang berkaitan dengan RE.

(vii) AWER juga telah mengutarakan beberapa kali kepada KeTTHA bahawa SEDA, agensi yang redundant, tidak boleh menjalankan sebarang tugas berkaitan Kecekapan Tenaga (EE).  Sebenarnya, SEDA tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkaitan EE.  SEDA sudahpun dibayangi kegagalan seperti menggunakan model yang tidak sesuai untuk pembangunan RE, Program Rebat SAVE (di mana ia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa) dan kini isu solar PV.  Pelaksanaan Kecekapan Tenaga mesti dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga kerana mereka diberi kuasa oleh Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.  SEDA masih belum mencapai apa-apa kejayaan kecuali beberapa kegagalan yang ketara seperti yang dinyatakan di atas.

AWER menyeru YAB Dato' Sri untuk membentuk sebuah panel bebas untuk menyiasat semua perkara di atas.  Panel ini juga perlu mengkaji pelaksanaan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 secara langsung di bawah Suruhanjaya Tenaga untuk mengelakkan redundancy dan pembaziran dana operasi.  Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dengan jelas menetapkan bidang kuasa untuk membangunkan RE di bawah Suruhanjaya Tenaga.  Ini juga bermakna Akta SEDA 2011 perlu dimansuhkan kerana sifatnya yang berunsurkan redundant.  Adalah penting untuk membina industri RE yang berkembang tetapi model yang diguna pakai sekarang akan gagal kerana ia tidak mampan dan Malaysia bukanlah pemilik teknologi.  Laporan siasatan ini juga mesti disiarkan untuk pengetahuan umum.

AWER juga telah mengutarakan isu-isu ini kepada KeTTHA beberapa kali dan semua kebimbangan dan cadangan kami tidak dipedulikan.  Malaysia memerlukan model yang kukuh, mampan dan berdaya maju untuk membangunkan industri RE secara mampan tetapi FiT tidak menjamin perkara ini.  Jika Malaysia benar-benar berhasrat untuk mempunyai Pembangunan Lestari, kita perlu merombak rancangan dan pelaksanaan yang sedia ada supaya ia berasaskan sains dan keupayaan negara. Mengakui dan membetulkan kesilapan adalah perkara mulia berbanding dengan meninggalkannya berkembang menjadi satu bencana.

Kami menghargai masa dan pertimbangan yang diberikan oleh YAB Dato' Sri kepada kami dan kami berharap bahawa Kerajaan Persekutuan akan melindungi kepentingan awam seperti yang digema di "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" serta mempertimbangkan cadangan yang diberikan oleh AWER sewajarnya.

Terima kasih.

Yang benar,
PIARAPAKARAN S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)