Oleh: Dwen Puyau
Diskusi itu di adakan atas dasar kebimbangan para pemimpin dan ahli politik dengan suasana dan situasi golongan muda masa kini yang tidak berminat mencampuri dan mengambil tahu tentang keadaan politik tanah air.
Generasi Muda yang dimaksudkan ialah generasi yang berusia antara 21 dan 40 tahun. Jadi, aku pun termasuklah dalam kelompok generasi “Y” juga.....
Berdasarkan kajian dan laporan yang diberikan kepada aku oleh beberapa agensi, mereka memaklumkan bahawa generasi yang paling dibimbangi ialah generasi yang graduan Universiti pada tahun 1997 dan selepas itu merupakan generasi yang paling tidak berminat dengan politik.
Yang menjadi kebimbangan di satu pihak (parti) ialah, golongan ini adalah menjadi penentu dan sebagai “Silent killer” kepada parti mereka dalam pilihanraya umum. Alamak!!!! Aku pun termasuk ngan kumpulan ini juga ker?. Suka hati korang lah ape korang nak kata. Tapi itulah hakikat yang perlu ditelan oleh parti tersebut.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terdapat lebih dari 3 juta warganegara yang layak belum mendaftar sebagai pemilih, dan majoriti mereka ialah generasi muda yang beragama Islam berbangsa Melayu.
Bayangkan jika mereka ini mendaftar kepada pengundi. Ianya seumpama jumlah pengundi untuk 3-4 negeri...... Memang betul-betul boleh menjadi silent killer sebab boleh dapat lebih kurang 30 Kerusi Parlimen tue....
Apa-apa hal, aku hanya menjalankan tugas yang di amanahkan kepada aku tanpa mengira parti mana yang aku dokong dan yang paling penting, aku melaksanakan tugas untuk memberikan kesedaran kepada anak muda sepertimana yang dikehendaki oleh pemerintah.
Dalam Diskusi tersebut seorang peserta bertanya kepada aku ; Apakah hukum mengundi ketika pilihan raya? Adakah ianya hak atau pun satu tanggungjawab?.
The best APAM in the world..
http://worldofapam.blogspot.com
Huuuusssh..... udah soalan macam tanya kat mufti lah pulak ditujukan oleh peserta pada aku.
Aku menjawab persoalan tersebut secara dengan bertanya kembali kepada peserta yang hadir, bagi mendapatkan jawapan yang selama ini berada dalam benak pemikiran mereka.
Majoriti di kalangan mereka mengatakan bahawa mengundi itu adalah suatu hak mereka sebagai warganegara tanpa melihat kepada hukum terhadap diri mereka sebagai seorang yang mukallaf.
Dari jawapan mereka itu maka dapatlah aku simpulkan sedikit bahawa ini mungkin sebagai satu punca mereka kurang kesedaran untuk mengudi dan mendaftar sebagai pengundi. Dengan sebab itu juga mereka malas untuk ambil tahu pasal pemerintahan negara dan suasana politik.
Kerajaan harus sedar, generasi muda cukup malas berpolitik kerana mereka telah diberikan gambaran yang negatif oleh ahli-ahli politik sendiri. Maka, mereka tidak boleh dipersalahkan, kerana kesilapan itu disebabkan ahli-ahli politik sendiri kita sendiri yang penuh dengan isu-isu moral dan krisis kredibiliti.
Woookeh..... panjang bebeno aku merewang..... bosan lak orang nak baca....
Jawapan aku pada mereka sangat mudah dan mungkin jawapan aku ini tidak sama dengan pandangan orang lain terutamanya para ulama.
Pada aku mengundi itu adalah satu “tanggungjawab” kepada semua warganegara yang layak, dan untuk memilih siapa yang dia mahukan untuk di undi itu adalah “hak”.
Apabila mengundi itu dikatakan sebagai tanggungjawab, maka disitu hukumnya adalah “wajib” dalam ertikata satu “kefardhuan”, manakala untuk memilih siapa yang dipilih itu sebagai “hak” kerana di sana ada unsur “Khilafiah”- memilih.
Dari situ aku katakan “adalah menjadi satu tanggungjawab yang fardhu kepada kita semua untuk mengundi, dan terserah pada kita untuk memilih siapa yang kita mahukan kerana disitulah hak kita”.
Yang utama dan harus diberikan prioriti ialah kita melaksanakan tanggungjawab yang menjadi kewajipan yang fardhu untuk kita laksanakan iaitu mengundi. Siapa yang kita undi, itu adalah persoalan kedua dan berbentuk khilafiah (bebas untuk memilih).
Kata-kata aku ada asas sandarannya, ada nasnya secara siasah syarieyyah. Soal siapa yang di pilih, itu aku serahkan kepada orang politik untuk menjawab sebab mereka lebih pandai berkata-kata dan mengeluarkan “fatwa” dan “Petua” dan tak kurang juga “petualang”.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “Apabila tiga orang bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang dari kalangan mereka menjadi ketua”.
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil dan bersifat hanya sementara (tempoh Musafir), maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan mengambil tempoh yang lama.
Seterusnya aku membawa hujah berdasarkan peristiwa perbuatan para sahabat yang menjadi fitnah oleh orientalis terhadap para sahabat nabi dimana mereka mengatakan para sahabat “gilakan kuasa”.
Untuk itu kita hayati sirah sebenar situasi ketika kewafatan Rasulullah dari berpandukan kitab-kitab muktabar seperti sirah Ibn Sa’ad, sirah ibn Hisham dan Tarikh Thabori.
Kita juahkan diri kita dari membaca sirah nabawiyah dan para sahabat yang berkiblatkan penulisan-penulisan Orientalis yang secara halus telah memfitnah para sahabat.
Ketika perkhabaran Rasulullah wafat, suasana umat Islam pada mulanya agak suram dan kemudiannya menjadi agak tegang hinggakan hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan Islam.
Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan.
Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :
"Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati".
Apabila keadaan kembali tenang satu pertemuan telah diadakan di Saqifah Bani Saadah yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi untuk melantik khalifah sebagai pemimpin menggantikan Rasulullah.
Pada mulanya perhimpunan ini tidak diketahui oleh kaum keluarga nabi dan tokoh Quraisy sehinggalah ada dua orang sahabat datang memberitahu bahawa adanya suatu perhimpunan penting di situ.
Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar bergegas ke sana dan mendapati keputusan perlantikan belum dibuat disebabkan timbulnya pertikaian di kalangan kaum Aus seramai 70 orang yang tidak bersetuju dengan perlantikan Saad bin Ubadah daripada kaum Khazraj sebagai khalifah.
Dalam peristiwa tersebut hampir semua sahabat yang rapat dengan Rasulullah telah hadir dalam perhimpunan tersebut dan inilah yang menjadi hujah kepada oreantalis untuk memfitnah para sahabat kerana hanya ahli keluarga terdekat dengan Rasulullah sahaja yang menguruskan janazah baginda.
Daripada peristiwa itu mereka menggambarkan para sahabat sebenarnya tidak mengasihi Rasulullah kerana lebih mengutamakan perebutan kuasa di Saqifah Bani Saadah berbanding menguruskan jenazah Baginda.
Maka disinilah nasnya dimana saya sandarkan hukum bahawa perlantikan khalifah itu sangat penting sepertimana yang digambarkan oleh para sahabat itu.
Hukum menguruskan jenazah itu tidak dinafikan bahawa satu kewajipan yang “fardhu kifayah”, tetapi kenapa kebanyakan para sahabat mengutamakan soal khalifah dengan menghadiri perhimpunan itu.
Ini menunjukkan bahawa para sahabat berpendapat hukum melantik pemimpin/khalifah itu labih aula daripada menguruskan jenazah (faudhu Kifayah) dan perlu lebih diberikan keutamaan (fiqh aulawiyat).
Maka dengan itu, para sahabat menyerahkan urusan pengurusan jenazah itu diuruskan oleh keluarga terdekat Rasulullah untuk menyelesaikannya.
Ketika di Saqifah Bani Saadah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. telah berkata;
“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.
Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.
Lihatlah, pertama pentingnya perlantikan khalifah dimana sahabat-sahabat Rasulullah sendiri lebih mengutamakan politik (perlantikan khalifah) daripada menguruskan jenazah baginda. Ini kerana, negara dan agama tidak boleh dibiarkan tanpa ada yang mengurusnya walaupun untuk satu ketika yang singkat.
Seterusnya, persoalan dalam memilih calon untuk di undi, seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa ianya adalah persoalan kedua iaitu khilafiah. Yang utama dan menjadi kewajipan kepada kita ialah mengundi dan hendaklah kita tunaikan kefardhuan itu terlebih dahulu.
Cuma, dalam memilih calon yang hendak di undi saya serahkan atas kebijaksanaan generasi muda untuk memilih berdasarkan sedikit panduan. Ini kerana kebanyakan generasi muda enggan mengundi kerana mereka mendapati “politik” itu kotor sehingga mereka malas untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap agama dan negara.
Bagi menghilangkan kecelaruan generasi muda dalam memilih calon dalam situasi sukar untuk mencari dan memilih calon yang mereka mahukan untuk di undi, saya katakan kepada mereka sebegini;
Ingatlah, Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tetapi bergelumang dengan dosa, manakala yang kedua, kuat agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab:
“Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya dapat membina keutuhan negara dan kepentingan umat. Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manafaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang dipimpinnya.”
Maka disini, perlulah kita sekali lagi menggunakan kecerdikan kita sebagai pengundi yang berkesan kepada perubahan politik negara untuk menentukan hala tuju negara dengan menggunakan keutamaan dari segi hukum (fiqh Aulawiyat) dalam memilih pemimpin yang sesuai dengan kehendak agama.
Oleh itu dalam situasi politik sekarang kita perlu mengambil kira “kepentingan untuk orang ramai dan agama lebih diutamakan daripada kekurangan akhlak dan moralitinya kerana mengelakkan kemudharatan lebih besar hendaklah diberikan keutamaan berbanding mengelakkan kemudharatan yang lebih kecil.”
Saya merayu kepada generasi muda, kalaulah anda semua benar-benar menyayangi agama dan negara anda ini, turunlah mengundi, dan sebelum itu, mendaftarlah sebagai pengundi, kerana agama dan negara ini memerlukan orang yang menguruskannya (khalifah/pemimpin).
Kalaulah anda ingin melihat agama dan negara kita di uruskan dengan sebaiknya, maka kita terlebih dahulu sepatutnya melaksanakan tanggungjawab kepada agama dan negara kita iaitu memilih pemimpin yang sepatutnya.
Bukanlah cara yang terbaik untuk kita menunjukkan kecintaan dan sayang kita kepada agama dan negara kita dengan cara kita menjauhkan diri dari kekalutan politik yang mana akhirnya kita hanya pandai menyalahkan ahli politik yang dipilih oleh orang lain (yang mengundi dan melaksanakan tanggungjawab mereka) menjadi pemimpin sedangkan kita sendiri tidak melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan kepada kita.
p/s: Kalau sesiapa ada hujah untuk menyanggah kata-kata saya, dipersilakan untuk memberikan hujah, kerana bagi saya, dengan berhujah ianya akan menajamkan lagi pemikiran kita.....