Sunday, July 22, 2012

Islam Perlu Dilindungi oleh Pemerintah Islam dan Bukan Islam!!!!

Oleh: Dwen Puyau

Minggu lepas saya menghadiri satu mesyuarat mengenai penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam. Enakmen ini telah pun wujud lebih dari 20 tahun namun hanya ada satu kes sahaja yang dibawa ke Mahkamah.

Sebanyak 10 negeri telah mempunyai Enakmen masing-masing berkatian kawalan dan sekatan pengembangan agama selain Islam. Empat negeri belum mempunyai Enakmen seumpama itu iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Yang menjadi persoalan ialah, kenapa begitu sedikit kes di bawa ke mahkamah sedangkan terlalu banyak kes-kes orang Islam di dakyah oleh orang-orang bukan Islam.

Ini bukanlah kali pertama saya menulis dalam FB saya berkaitan isu ini. Rasa-rasanya ini sudah kali ke 3 mahu pun ke 4 saya membahaskan isu ini dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negeri-negeri.

Saya tidak nafikan bahawa agak sukar untuk kita memahami kedudukan Enakmen tersebut termasuklah dikalangan ahli perundangan. Ketika perbincangan di adakan kebanyakan didapati masih kabur terhadap Enakmen dan Perlembagaan.

Persoalan utama yang dibangkitkan ialah “siapakan Tuan kepada Enakmen tersebut”? dan siapakan yang sepatutnya menguatkuasakan Enakmen tersebut” ?.

The best APAM in the world.. http://worldofapam.blogspot.com

Kecuali saya, semua yang hadir berpendapat tuan kepada Enakmen tersebut ialah Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan dengan sebab itu maka Majlis Agama Islam lah yang sepatutnya menguatkuasakan Enakmen tersebut.
Saya sangat tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan saya sedikit pun tak berganjak dengan pandangan yang saya pegang selama ini bahawa Majlis Agama Islam bukanlah pihak yang sepatutnya menjadi “Tuan” dan sepatutnya “menguatkuasakan” Enakmen tersebut.

Pada awalnya, saya agak gentar untuk memberikan pandangan saya, maklumlah, yang hadir semuanya bukan calang-calang, kesemuanya pakar-pakar perundangan belaka malah lebih mahir dari saya dalam perundangan.

Saya memberanikan diri untuk menyatakan pandangan saya walaupun semua pandangan yang terdahulu dikemukakan oleh mereka adalah bertentangan dengan pandangan yang bakal saya berikan.

Pandangan saya ialah Enakmen tersebut “tuannya adalah Kerajaan Negeri/MMKN” dan ianya mesti dikuatkuasakan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dan bukannya Majlis Agama Islam.


Memang pandangan tersebut sangat bertentangan dengan pandangan  rakan-rakan saya yang lain malah dikatakan pandangan saya juga bertentangan dengan enakmen 9 negeri yang lain.

Empat negeri menyatakan pihak yang memberikan kuasa kepada “Pegawai yang ditauliahkan/Pegawai diberi kuasa” ialah Raja/Sultan, manakala empat negeri yang lain pula menyatakan “Raja/Sultan dalam Mesyuarat”.

Dua negeri yang lain pula iaitu Negeri Sembilan dan Melaka sebaliknya menyatakan adalah kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk memberi kuasa atau mentauliahkan kepada mana-mana Penjawat Awam.

Pandangan dari salah seorang rakan saya yang paling disegani, perkataan Raja dalam “Mesyuarat” tidak boleh ditafsirkan “Mesyuarat” itu seperti mana yang terkandung dalam Kanun Tanah Negara atau pun Akta Tafsiran.

Dalam Kanun Tanah Negara dan Akta Tafsiran, perkataan “Mesyuarat” pada Raja dalam mesyuarat ialah “Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri”.

Oleh itu beliau berpendapat, tafsiran sedemikian tidak boleh terpakai kerana perkara ini adalah berkaitan hal ehwal Islam, maka maksud yang dikehendaki dan yang lebih tepat ialah kepada  “Mesyuarat” ialah “Mesyuarat Majlis Agama Islam”.

Seterusnya, pandangan beliau berkaitan “Pihak Berkuasa Negeri” yang dinyakan oleh Enakmen Negeri Sembilan dan Melaka hendaklah ditafsirkan sebagai Pihak Berkuasa Agama Negeri iaitu Raja/Sultan dan Majlis Agama Islam Negeri dan bukannya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam menjawab secara keseluruhan persoalan yang dibangkitkan saya menjawab berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam.

Hujah saya yang pertama ialah kerana Enakmen ini dibuat dibawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan bukannya di buat di bawah perkara 74(2), senarai Kedua Jadual Kesembilan, Butiran 1.

Oleh itu ianya tiada kaitan dengan “hal ehwal dalaman Agama Islam”. Saya berpendapat Butiran 1 Jadual Kesembilan adalah perkara-perkara yang berkaitan hal ehwal Islam dari sudut dalaman sahaja dan tidak termasuk perkara-perkara “luaran”.

Ini selaras dengan peruntukan seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam yang menyatakan “Majlis hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan  Agong berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Negeri Melaka, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihakberkuasa utama di dalam Negeri Melaka selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.”

Oleh itu saya berpendapat, Enakmen Melaka berkaitan kawalan dan sekatan agama lah yang paling menepati kehendak perlembagaan kerana memberi kuasa kepada MMKN untuk memberikan tauliah dan menguatkuasakannya. Ini kerana seksyen 1 Enakmen tersebut telah mentafsirkan PBN itu sebagai "Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri". Oleh itu ianya tidak boleh lagi ditafsirkan sebagai "Mesyuarat Majlis Agama Islam"  selaku Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Seterusnya, saya berpendapat, semua warganegara dan penduduk di Malaysia perlu menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan dan begitu juga Perlembagaan Negeri-Negeri yang turut menyakan Islam sebagai Agama bagi Negeri-Negeri.

Saya ingin menjelaskan bahawa berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Malaysia adalah sebuah Negara yang mempunyai agama dimana Islam menjadi agamanya. Dengan itu, tersanggahlah yang mengatakan Malaysia ini sebuah Negara Sekular yang sering dilaungkan oleh sebahagian dari kita.

Oleh kerana Islam menjadi agama bagi Persekutuan, maka adalah menjadi tanggungjawab kepada semua tak kiralah mereka orang Islam atau bukan Islam atau tiada agama, menjaga dan melindungi kedudukan Islam.

Maka untuk melindungi Islam dan umat Islam dari ancaman dan gangguan dari orang bukan Islam terhadap akidah mereka, setiap negeri sepatutnya menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Selain Islam tanpa menjejaskan hak orang-orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara bebas dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Perlembagaan sepertimana yang ditegaskan dalam perkara 11 Perlembagaan.

Sebagai kesimpulan kepada Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan persekutuan, saya katakana bahawa “Adalah menjadi tanggungjawab dibawah perlembagaan terhadap Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri, tidak kiralah mereka diperintah oleh orang-orang Islam atau bukan Islam melindungi Agama Islam dan umatnya dari ancaman dak’yah dan penyebaran agama lain”

Jika sekiranya Kerajaan/Pemerintah tersebut enggan atau tidak melindungi Islam dan umatnya dari ancaman pengembangan agama lain, maka kerajaan tersebut adalah kerajaan yang TIDAK BERPELEMBAGAAN.

Maka dibawah Perlembagaan Persekutuan bukanlah menjadi tanggungjawab Majlis Agama Islam menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Selain Islam tetapi ianya adalah tanggungjawab Pihak Berkuasa Negeri (MMKN).

Inilah yang patut kita fahami dan inilah yang sepatutnya kita lakukan iaitu menjaga Agama Islam dan umatnya menjadi tanggungjawab semua.